Pages

Friday, July 20, 2012

TAKDIR CINTA BAB 2


TAKDIR CINTA



BAB 2

                Adam Syafiq melangkah masuk ke dalam masjid dengan berpakaian serba putih dan lengkap bersongkok dan berkain samping.  Langkahnya sangat teratur.  Adam Syafiq kelihatan segak dengan berbaju melayu.  Wajahnya terukir senyuman.  Senyuman yang bukan dibuat-buat.  Senyuman yang paling ikhlas yang pernah terbit di bibirnya. 

                Tangannya dihulurkan untuk berjabat dengan seorang lelaki yang separa usia untuk memulakan akad.  Setelah selesai akad dan doa, Adam Syafiq terus mengambil sebentuk cincin yang dihulurkan kepadanya untuk disarungkan ke jari manis si isteri.  Jari lembut si isteri yang merah di inai, di pegang lembut, lantas cicin disarungkan ke jarinya.  Jelas kelihatan tahi lalat di jari manis isterinya ketika dia menyarungkan cinin ke jari runcing itu. Tanpa berlengah, si isteri terus mengambil tangan Adam Syafiq dan menciumnya lembut.

Adam Syafiq terasa bahagia sekali.  Sungguh dia tidak menyangka yang akhirnya dia akan menamatkan zaman bujangnya di usia 30 tahun.  Belum pun sempat dia ingin mencuim dahi si isteri, Adam Syafiq terjaga dari lenanya.  Ah, mimpi rupanya.  Segera dia beristighfar beberapa kali sambil meraup wajahnya.

“ Ya Allah, adakah sesuatu yang Kau cuba sampaikan padaku? Atau itu Cuma mainan tidur semata-mata?” desis hati kecil Adam Syafiq.

Kakinya diatur ke bilik air untuk mengambil wudhuk untuk melakukan solat sunat di sepertiga malam.  Doa dipanjatkan kepada Allah S.W.T agar dia diberi petunjuk untuk kesulitan yang dialami dan agar dipertemukan jodoh yang terbaik untuk dirinya.  Usai melakukan solat dan membaca Al-Quran, Adam Syafiq kembali merebahkan dirinya di atas katil.
******
               
                Jam ditangan Adam Syafiq menunjukkan pukul 8.30 pagi ketika dia melangkah keluar dari lobi hotel.  Kakinya terus melangkah ke arah gerai nasi lemak semalam.  Bau aroma nasi lemak mengiringi langkah Adam Syafiq yang semakin hampir dengan gerai itu.  Nasi lemak daun pisang itu sungguh enak dan di sebabkan itu jugalah Adam Syafiq sanggup menapak ke gerai ini semata-mata untuk mendapatkannya. 

                “ Ya encik.  Nak nasi lemak ke?” tanya seorang wanita separuh usia.  Hampa rasa hatinya apabila gadis yang ingin ditemuinya itu tidak ada di gerai hari ini.

                “Ya makcik.  Bagi saya nasi lemak lauk paru dan ayam goreng satu.  Bungkus ya.” Pesan Adam Syafiq.  Matanya sibuk melilau ke kiri dan ke kanan untuk mencari gadis yang menjual nasi lemak ini semalam.  Dimanakah dia?

                “Ni encik.  Semua sekali rm4.00.” kata wanita separuh usia itu sambil menghulurkan nasi yang sudah di letakkan ke dalam plastik. 

                “Maaf bertanya makcik.  Semalam ada seorang gadis bertudung jual nasi lemak di sini.  Mana dia ye?” tanpa sengaja soalan itu terpacul keluar dari bibir Adam Syafiq.  Dalam hatinya menyumpah-nyumpah tindakannya itu.  Bagaimana dia boleh mengajukan soalan sebegitu, dia sendiri tidak pasti.

                “Oh, Umairah?  Hari ni Umairah tak ada.  Dia kata nak ke pekan ada hal.  Anak ni siapa ye? Kawan Umairah ke? Makcik ni ibu Umairah.  Nama makcik Zainab” balas wanita separuh abad itu lagi.
               
Adam Syafiq hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum malu. “Oh, bukan.  Saya bukan kawan dia.  Cuma, semalam saya beli nasi lemak ni dengan dia.  Boleh saya tanya satu soalan makcik? Masjid dekat mana?” tanya Adam Syafiq sopan.

                “Masjid dah tak jauh dari sini nak.  Anak jalan ke depan simpang tu, kemudian belok ke kiri dan jalan terus.  Nanti anak akan nampak masjid di situ.”

                “Terima kasih makcik.  Saya pergi dulu.”

                Adam Syafiq berjalan pulang ke hotel.  Patah hatinya apabila gadis yang bernama Umairah itu tidak ada di kedai.  Tapi untuk apa dia merasa begitu?  Kenapa dia perlu berasa hampa bila tidak bertemu gadis itu?  Adam Syafiq mula berperang dengan perasaannya sendiri.
********

               
                Datuk Soffian berjalan menuju ke meja makan untuk menikmati makan tengahari.  Datin Maimunah sudah bersedia di meja makan sambil menunggu kehadiran suaminya.  Mak Temah, pembantu rumah agam itu sibuk menuangkan air ke dalam gelas  tuannya. 

                “Mana si Adam ni , Mun? Tak bangun-bangun lagi ke?” Tanya Datuk Soffian setelah merebahkan punggungnya di kerusi.

                “Awak ni , anak dah tak ada dua hari baru perasan?” balas Datin Maimunah sambil menjeling ke arah suaminya yang sedang meneguk  fresh orange yang di tuangkan pembantu rumahnya.

                “Manalah saya nak perasan.  Saya sibuk dengan urusan kerja.  Lagipun, Adam tu kan workaholic.  Kalau dia tak ada, mestilah saya fikir dia sibuk uruskan kerja-kerja dia.  Haaa, ke mana pula budak tu pergi?” tanya Datuk Soffian lagi.

                “Dia pergi bawa diri kat Pulau Pangkor nun.”

                “Pangkor? Buat apa kat sana?  Nak bawa diri kenapa pula?” tanya Datuk Soffian pelik.

                “Ye lah, bawak diri sebab saya nak kahwinkan dia dengan si Balqis tu.  Perangai macam budak-budak.  Orang suruh kahwin je pun, itu pun susah sangat.” Bebel Datin Maimunah.

                “Ya Allah.  Awak paksa si Adam tu kahwin ke Mun? Kalau dah budak tu tak mahu kahwin lagi, jangan di paksa.” Bidas Datuk Soffian.

                “Awak tu orang lelaki, apa yang awak tahu?  Kalau saya ikutkan sangat kehendak si Adam tu, silap hari bulan, awak dah pejam mata pun si Adam tak kahwin-kahwin lagi tahu tak? Awak senang lah cakap, awak sibuk dengan business awak tu.  Awak tak fikir ke, si Adam tu dah 30 tahun dah? Calon isteri pun tak ada lagi?” marah Datin Maimunah.

                “Itu bukan masalahnya Mun oi.  Cuba awak bagi dia masa, biar dia pilih sendiri calon isteri dia yang mana dia berkenan. Lagipun, Adam tu lelaki.  Kalau pun dah umur 30 tahun tak kahwin lagi.  Tak ada apa masalanya.  Awak jangan lah pula nak jadi macam ejen pencari jodoh tu.  Sibuk nak meet and match kan orang.”

                “Kalau saya tak buat macam ni Datuk Soffian, anak awak tu tak kan kahwin sampai bila-bila.  Lagipun, saya suka dengan si Balqis tu.  Budaknya cantik, pandai bergaya, pandai ambil hati saya, berpelajaran tinggi, dan yang paling penting budak tu setaraf dengan kita.” Datin Maimunah menambah.

                “Awak jangan nak pandang darjat sangat Mun.  Awak kena fikir perasaan anak awak sama.  Kalau dah dia tak suka, jangan dipaksa.  Perkahwinan ni bukan untuk seketika sahaja.  Kalau boleh, biarlah si Adam tu bahagia dengan perkahwinan dia.  Awak nak ke tengok anak awak tak  bahagia cik Mun oi?”

                “Alah, mula-mula memanglah dia tak suka.  Tapi cinta tu kan boleh dipupuk? Lama-lama, bahagia lah dia.  Awak apa tau fasal ni semua?  Yang awak tahu,  business itu, business ini, lubang golf itu, lubang golf ini. “ bebel Datin Maimunah.

                “Susah cakap dengan awak ni Mun.  Nak ikut kepala awak sahaja.  Tapi ingat, saya tak setuju kalau awak paksa-paksa si Adam macam ni.  Kalau dia memang dah suka dengan pilihan awak, itu lain cerita.” Tegas Datuk Soffian. Datin Maimunah mencebik geram.  Rancangannya untuk menyatukan Adam Syafiq dengan Balqis nampaknya tidak di sokong suaminya sendiri.  Kempunanlah dia nak bermenantukan Balqis.

                Deringan telefon mengganggu Datin Maimunah yang sedang menjamah makanan.  Segera panggilan itu dijawab apabila tertera nama Adam Syafiq di skrin telefon bimibitnya.  Datuk Soffian hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat keletah Datin Maimunah.

                “Assalammualaikum, ma.  Mama tengah buat apa tu?” suara Adam Syafiq kedengaran.

                “Waalaikumsalam.  Haa, Adam.  Mama tengah lunch dengan papa ni.”

                “Hurmm, sorry ganggu mama lunch.  By the way, Adam sebenarnya nak inform mama, Adam mungkin tak jadi balik esok lah ma.  Adam rasa nak stay sini dalam dua tiga hari lagi.”

                “What?? Apa yang lama sangat?  Adam nak buat apa kat sana tu lama-lama?  Jangan nak mengada-ngada lah Adam.  Esok terus balik sini ” arah Datin Maimunah tidak puas hati.

                “Please ma, I need a break.  Adam betul-betul nak hilangkan stress.  Lagipun, dekat office sekarang ni tak busy sangat.  Adam pun dah lama tak ambil cuti.  Dah alang-alang Adam holiday kat sini, Adam ingat, Adam nak spend time betul-betul.  Nak rest puas-puas.”

                “Tapi..”belum sempat Datin Maimunah menghabiskan ayatnya, Adam Syafiq mencelah.

                “Please ma.  Tolong faham keadaan Adam.  Okay lah mama, Adam just nak bagi tahu itu sahaja.  Tak nak lah nanti mama risau bila Adam tak balik esok.  Okay, enjoy your meal.  Kirim salam dekat papa.  I love you.  Assalammualaikum.” Potong Adam Syafiq dan terus meletakkan gagang telefon.

                Datin Maimunah mendengus geram.  Adam Syafiq betul-betul menaikkan darahnya.  Apalah yang si Adam rungsingkan sangat?  Bukannya dia menyuruh Adam mencari gadis untuk di jadikan menantu.  Dia sendiri telah memilih gadis untuk dijadikan menantu di rumahnya.  Adam ni mengada-ngada sungguh!  Merajuk macam budak kecil.

                “Haaa, kenapa pula tu?” tanya Datuk Soffian sambil menjamah makannya.

                “Anak awak ni.  Dia kata tak jadi balik esok.  Dia nak extend holiday dia dua tiga hari lagi.  Saya pun tak faham lah dengan si Adam ni.  Merajuk dah macam budak kecil.” Bebel Datin Maimunah tidak puas hati.

                “Biarkan je lah dia nak bercuti.  Lagipun selama ni, Adam sibuk dengan kerja-kerja dia.  Biarkan dia berehat.” Balas Datuk Soffian. 

Datin Maimunah menjeling tajam.  Geram apabila suaminya sibuk menyebelahi anak tunggal mereka.  Sakit hatinya bila kata-katanya langsung tidak di setujui suaminya bahkan semua cadangan dan kata-katanya di tolak mentah-mentah oleh Datuk Soffian.  Adam betul-betul membuatkan dia hilang selera makan.  Datuk Soffian tampak berselara menghabiskan makanan di dalam pinggannya.  Tak apa.  Esok lusa, Adam tentu akan setuju dengan cadangannya.  Dia akan pastikan Balqis akan menjadi menantu dalam rumah agam ini.


                

No comments:

Post a Comment