Pages

Tuesday, October 9, 2012

TAKDIR CINTA BAB 7

BAB 7


TAKDIR CINTA

BAB 7

                Datin Maimunah mundar-mandir di ruang tamu rumahnya.  Penat berdiri dia duduk seketika.  Sesekali dia menjenguk ke luar rumah dan memandang ke arah garaj.  Risau pula hatinya.  Manakan dia tidak risau, Adam Syafiq masih tidak pulang ke rumah walaupun jam sudah melangkau ke empat pagi.  Tidak pernah sekali pun Adam buat perangai begini.  Hari ini sudah pun genap tiga hari Adam tidak pulang ke rumah.

  Ah, Adam betul-betul ingin mengotakan kata-katanya kah?  Risau juga dia jika Adam benar-benar ingin meninggalkan rumah ini.  Masakan tidak, Adam Syafiq satu-satunya buah hatinya.  Satu-satunya anak yang di kurniakan tuhan kepadanya dan bukan mudah untuk dia mendapatkan zuriat yang satu ini.  Penantian selama enam tahun dan akhirnya baru membuahkan hasil.  Puas sudah dia berubat ke sana sini untuk mendapatkan zuriat ini.  Manakan tidak, sikap bodohnya dahulu yang tidak inginkan anak dan sering mengambil pil perancang menyebabkan dia lewat untuk mendapatkan anak.

“Ma, kalau mama nak Adam teruskan niat mama untuk kahwin dengan Balqis, mama jangan menyesal kalau Adam ceraikan Balqis keesokkan harinya.  Atau mama tak akan jumpa lagi Adam lepas ni.”ayat yang keluar dari mulut Adam Syafiq pagi tadi terngiang-ngiang di telinganya.  Seolah-olah mengingatkan Datin Maimunah akan ketegasan pada percakapan anaknya yang seorang itu.

Telefon bimbitnya di capai lantas mendail nombor Adam Syafiq.  Panggilannya tidak di angkat.  Sekali lagi dia cuba mendail tetapi tetap tiada jawapan dari Adam Syafiq.  Hatinya bagai di robek-robek dengan kerenah anaknya. 

Bukannya besar pun permintaan darinya.  Dia hanya inginkan Adam mengahwini Balqis, itu sahaja.  Tapi permintaan itu benar-benar menyesakkan fikiran Adam nampaknya.  Masakan tidak, masa mula-mula dia meluahkan keinginannya kepada Adam Syafiq, Adam pergi membawa diri ke  Pangkor dan kini dia mengambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah. 

“Adam, mana Adam pergi ni? Mama rindu Adam.  Kat mana Adam sekarang?  Jangan buat mama macam ni, Adam.  Mama sayang Adam.” Luah Datin Maimunah sendirian. 

Datin Maimunah termenung memandang ke langit.  Sudah tiga hari dia begini.  Tidak mampu melelapkan mata dan akan menunggu Adam pulang ke rumah.  Tiada satu pun khabar dari Adam Syafiq untuknya.  Di manakah Adam?  Di mana pula dia membawa diri?  Bila di tanya kepada suaminya adakah dia menerima pesanan dari Adam, hanya gelengan kepala yang diberikan sebagai jawapan.  Jadi?  Dimana Adam sebenarnya?  Kenapa panggilannya tidak dijawab?  Pesanan ringkas darinya tidak di balas? Adakah Adam betul-betul tekad dengan keputusannya?

“Balik lah Adam.  Mama janji, kalau Adam balik mama akan izinkan Adam kahwin dengan budak kampung tu. Tolonglah Adam, jangan buat mama macam ni.” Datin Maimunah bermonolog dalam hatinya.

Jika perkahwinan bersama budak kampung itu yang di inginkan Adam Syafiq, dia rela menerima kehendak anaknya itu walaupun pahit.  Sanggup menebalkan mukanya dengan rakan-rakannya jika itu yang dapat mengembalikan anaknya ke rumah.  Walaupun namanya akan tercemar di kalangan rakan-rakannya kerana sanggup mengambil budak kampung yang tidak punya kedudukan sebagai menantu. Tak mengapa, dia sanggup berkorban.  Asalkan Adam pulang ke rumah dan kehidupan mereka jadi seperti sedia kala.

****************

                Desiran angin yang menyapa tubuh Adam Syafiq menenangkan sedikit luka di hatinya.  Walaupun dia tahu yang dia tak sepatutnya melakukan perangai begini tetapi dia terpaksa.  Ya! Dia terpaksa melarikan diri dari ibunya kerana takut dirinya menderhaka terhadap ibunya.  Dia takut jika kata-katanya dapat mengguris hati ibunya. 

                Otaknya ligat memikirkan kejadian yang berlaku sebelum dia meninggalkan rumahnya.  Pertengkaran kecil di antara dia dan ibunya kembali menapak di tubir matanya.  Keengganannya untuk memperisterikan Balqis dan ketegasan ibunya untuk dia menikahi Balqis. 

                “Adam tak suka mama nak jodohkan Adam dengan Balqis.  Adam tak suka dia dan tak pernah terlintas pun dalam kepala Adam ni untuk memperisterikan dia.”

                “Kenapa pula?  Balqis tu kan bagus budaknya? Hormat orang tua, manja, lemah lembut,cantik pula tu.  Apa lagi yang Adam nak?  Semua yang ada dekat Balqis mama suka.  Balqis memang layak jadi menantu dalam rumah ini.”

                Setiap ayat petengkaran antara dia dan ibunya mula bermain di telinganya.  Bagai di alun-alun ke cuping telingannya.  Ah, bagaikan pertengkaran ini baru sahaja terjadi.  Dia tidak mahu jadi anak derhaka, tetapi permintaan Datin Maimunah amat berat baginya.  Memperisterikan Balqis?  Memang seboleh-bolehnya dia ingin elakkan. Balqis bukan perempuan baik dan Balqis tidak pernah mendapat tempat di hatinya.

                Kenapa sukar untuk ibunya menerima hakikat yang satu itu?  Hakikat di mana dia tidak pernah cintakan Balqis dan tidak ingin mengahwininya?  Dan kenapa sukar untuk ibunya menerima pilihan hatinya?  Hanya kerana Umairah seorang gadis kampung yang tidak mempunyai kedudukan dan darjat, ibunya tidak dapat menerima gadis itu?

                Ah! Mama terlalu memandang darjat dan kedudukan! Apa yang ada dengan semua itu? Bukankah kasih sayang dan kebahagian itu lebih penting dari segala-galanya?  Adakah darjat dapat memberi kebahagian dalam rumah tangga?  Adakah kedudukan dan nama dapat menjamin kesejahteraan rumah tangga??  Andai itu yang di fikirkan oleh ibunya ternyata ibunya silap! Ya, memang ibunya silap!

                Adam Syafiq meraup mukanya dengan kedua belah tangan.  Dia cuba membuang jauh-jauh perasaan terluka yang bersarang di hatinya.  Pandangannya di lemparkan ke arah pantai.  Ombak yang beralun perlahan di pandangnya sepi.  Hatinya hanya berdoa agar ibunya dapat menerima keputusannya.  Cuma ini permintaannya, menikahi Umairah.

                “Ya Allah, ini kali ke dua Kau menggerakkan langkahku ke sini.  Walaupun baru beberapa hari aku meninggalkan tempat ini tetapi kau tetap menggerakkan aku ke sini.” Detik hati kecil Adam Syafiq.

                Adam Syafiq merasakan dirinya sangat dekat dengan Pulau ini.  Pulau ini seperti memanggil-manggilnya untuk terus berada di sini.  Hatinya tenang setiap kali dia menghabiskan masanya di sini.  Seolah-olah ada kuasa yang dapat menghapuskan segala kekusutan yang dia alami ketika ini.  Mungkinkah ini ada kena mengena dengan jodohnya?  Adakah ini berkait dengan Umairah? 

                Adam mula mendapat idea.  Dia sudah tekad dengan keputusannya.  Esok dia sendiri akan berjumpa ibu Umairah.  Dia akan cuba menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Umairah.  Dia pasti dengan keputusannya.  Umairah akan di sunting untuk menjadi ratu dihatinya. Dia pasti Umairah jodohnya.  Kalau tidak, masakan tuhan menggerakkan hatinya untuk kali ke dua ke Pulau ini lagi. 


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


                Kaki Adam Syafiq terus di atur menuju ke gerai nasi lemak milik keluarga Umairah.  Niatnya kali ini Cuma satu.  Dia ingin berdepan sendiri dengan ibu Umairah.  Segala-galanya akan di ceritakan sendiri kepada ibunya.  Ya, dia memang tekad dengan keputusannya.  Keputusannya yang satu iaitu ingin memperisterikan Umairah.  Ingin menjadikan gadis itu sebagai suri hatinya.  Dia sendiri akan meluahkan kehendaknya untuk memperisterikan Umairah di hadapan ibu umairah.

                Nun di seberang jalan, Adam Syafiq dapat melihat wajah ceria Umairah yang sedang menjual nasi lemak.  Ibunya turut ada di sebelahnya untuk membantu.  Adam Syafiq menarik nafas dalam-dalam.  Hatinya hanya berdoa agar Allah mempermudahkan segala-galanya.

                “Assalammualaikum, nak nasi lemak ke?” Tegur Umirah dengan senyuman manis.

                “Waalikumsalam.  Eh, tak.  Saya sebenarnya datang ni nak jumpa dengan makcik sekejap.  Boleh ke?” pertanyaan Adam Syafiq membuatkan Zainab sedikit pelik.

                “Jumpa makcik?” tanya Zainab sambil jari telunjuknya menghala kepada dirinya.

                “Ya saya.  Boleh ke makcik? Saya ada hal nak bincang sikit.”

                “Boleh, tak ada masalah.  Mari kita ke meja belakang.” Ajak Zainab.

                Adam Syafiq hanya mengikut Zainab dari arah belakang.  Sempat juga dia menjeling ke arah Umairah yang sibuk melayan pelanggan.  Debaran di dadanya mula kencang. 

“Ya Allah, permudahkan lah segalanya.” Bisik hati Adam.

“Ada apa sebenarnya anak nak jumpa makcik?”

Adam menarik nafas dalam-dalam.  Di himpunkan segala kekuatan yang dia ada untuk di luahkan kepada Zainab yang berada di hadapannya. 

“Nama saya Adam Syafiq.  Saya datang dari Kuala Lumpur.  Sebenarnya, saya datang jumpa makcik ni sebab saya nak minta restu makcik untuk memperisterikan Umairah.”

Zainab tergamam.  Adakah budak di hadapannya ini tidak fikir panjang?  Matanya memandang tepat ke arah Adam Syafiq.  Mencari kebenaran kata-kata yang di luahkan oleh Adam.  Apakah dia mengigau?  Atau lelaki di hadapannya ini cuba berseloroh dengannya?

“Apa yang anak cakapkan ni?  Makcik tak faham.”

“Sebenarnya makcik, Saya datang ke Pangkor ni asalnya untuk bercuti.  Terus terang saya katakan sebelum ni saya jarang nak bercuti dalam negara.  Tapi saya sendiri tak tahu kenapa Allah gerakkan hati saya supaya datang ke mari.  sejak pertama kali saya berjumpa dengan Umairah hati saya rasa tak tenteram.  Saya tak pernah rasa perasaan yang macam saya rasa sekarang ni makcik.  Setiap kali saya lihat dia, hati saya mula berdegup kencang dan inilah pertama kali saya rasakan perasaan macam ni.  Siang malam saya berdoa kepada Allah agar di pertemukan jodoh yang terbaik untuk diri saya.  Dan saya dapat rasakan, Umairah jodoh saya.”kata Adam Syafiq sambil melirik ke arah Umairah.

“Sebenarnya, saya baru je balik ke KL  lima hari yang lepas.  Dan masa saya kat sana pun, otak saya sentiasa fikirkan Umairah.  Saya sendiri tak tahu mengapa.  Tapi jauh di sudut hati saya, saya dapat rasakan yang Allah S.W.T katakan pada saya Umairah jodoh saya.  Walaupun saya tak kenal dia lagi, tapi ada satu perasaan yang mengikat hati saya padanya.  Ada satu keyakinan yang amat mendalam dalam jiwa saya untuk menjadikan Umairah sebagai isteri saya yang sah dan perasaan ini semua hanya tuhan sahaja yang tahu.”

Zainab masih mendiamkan diri.  Matanya masih mencari kebenaran dari percakapan Adam Syafiq. 

“Jadi jika makcik izinkan, saya nak memperisterikan Umairah.  Dan andai kata makcik setuju, rombongan meminang akan sampai dua minggu lagi.”

Zainab menoleh ke arah anaknya.  Sungguh dia tidak percaya pada waktu pagi begini dia di khabarkan dengan berita yang sedikit menggugat ketenangannya.  Bukan mudah baginya untuk memberikan jawapan kepada lelaki dihadapannya ini.  Masakan tidak, ini tentang masa depan Umairah. Dia tidak mahu menggadaikan masa depan Umairah dengan hanya sebuah perkahwinan.  Tetapi dia juga yakin, jika sudah di takdirkan jodoh Umairah dengan Adam Syafiq dia akan menerimanya.  Lagipun, dia dapat merasakan Adam Syafiq seorang lelaki yang baik.  Dari sinar matanya sahaja, Zainab dapat melihat ketulusan dan keyakinan yang mendalam terhadap apa yang di perkatakannya.

“Macam ni lah.  Makcik rasa,  biarlah Umairah yang buat keputusan sendiri.  Makcik tak menghalang dan makcik juga tak setuju.  Sebagai ibu, makcik juga nak yang terbaik untuk anak makcik.  Makcik tak mahu keputusan yang di ambil akan membebankan dia di belakang hari.”

Adam Syafiq hanya mengangguk tanda setuju dengan kebenaran kata-kata Zainab. Tapi jauh di sudut hatinya, dia hanya berdoa agar pintu hati Umairah terbuka untuk menerimanya sebagai suami.

“Makcik harap anak tak berkecil hati.  Balik nanti makcik akan bincang anak beranak.  Almaklumlah, bapa Umairah dah lama meninggal dunia.  Jadi, makcik sebagai ibu inginkan pendapat dari Umairah sendiri dan juga abangnya, Zafrul.”

“Tak apa lah makcik.  Saya datang sini memang dengan niat yang satu ni sahaja.  Apa pun keputusan makcik anak beranak saya akan terima dengan hati yang terbuka.  Saya percaya dengan jodoh yang Allah tetapkan.  Jika Umairah untuk saya,insyaAllah saya akan dapat bersama dengannya dan andai kata Umairah bukan jodoh saya, saya redha menerimanya.” Balas Adam Syafiq tenang.

“Betul tu.  Tak apa, anak jangan susah hati.  Andai kata Umairah terima lamaran Adam, makcik akan beritahu Adam.”

“Terima kasih makcik.  Tapi macam mana saya nak tahu andai lamaran saya diterima?”

“Anak datang ke sini seminggu lagi dan makcik akan beritahu jawapannya.  InsyaAllah, makcikk akan cuba dapatkan keputusan secepat mungkin.”

“Kalau begitu, saya minta diri dulu makcik.  Apa pun keputusannya, saya redha.”  Balas Adam Syafiq sebelum meninggalkan perkarangan gerai.  Senyuman di lemparkan ke arah Umairah dan ibunya. 

“Andai Allah takdir kan kita bersama.  Aku yakin, kita akan tetap bersama.”desis hati kecil Adam Syafiq. 




2 comments:

  1. nak sabar nak tahu kisah seterusnya....

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaAllah akan di update secepat mungkin.. thanks sudi baca ye =)

      Delete